"Ini skuad terbaik yang pernah saya sertai."

Itu reaksi penyumbang dua gol, Lukman Hakim Shamsuddin, ketika bertemu Australia yang membawa kepada kemenangan 3-0 Malaysia dalam aksi keempat Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18, semalam.

Menceritakan permulaan karier seawal usia 16 tahun, pengendali, Brad Maloney, mencipta perspektif berbeza daripada pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Perancangan yang jelas daripada jurulatih serta semangat setiakawan daripada pemain membuatkan penyerang itu berasa dia berada di landasan terbaik untuk bergelar pemain bola sepak yang disegani satu hari nanti.

"Bagi saya, sejak mula bersama skuad kebangsaan pada usia 16 tahun, buat pertama kali semangat tinggi berada dalam pasukan. Rakan-rakan memberi semangat," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu dibuai perasaan selesa dengan kejayaan manis itu kerana masih berdepan satu lagi aksi getir menentang Thailand, esok.

"Kemenangan ini kami tolak tepi dulu dan fokus ke depan. Kami harus lakukan lebih baik. Lawan Thailand nanti, kami akan lakukan lebih baik dan menang."