Kejohanan AFF B-18: Kesilapan Firdaus hampir ranapkan impian Malaysia

Oleh Staff Writer 15 Ogos 2019 33279
Kejohanan AFF B-18: Kesilapan Firdaus hampir ranapkan impian Malaysia
MALAYSIA 0 THAILAND 1

Skuad B-19 negara hampir berputih mata apabila tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 di Stadium Thanh Long, Bandaraya Ho Chi Minh sebentar tadi.


Kesilapan penjaga gol negara merangkap ketua pasukan, Firdaus Iman Mohd Fadhil, mengakibatkan pintu gol Malaysia dibolosi oleh Sitthinan Rungrueang dalam babak kedua.

Harimau Malaya, bagaimanapun, perlu berterima kasih kepada Kemboja, yang menewaskan Vietnam 2-1 dalam perlawanan berasingan, sekali gus mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B di belakang Australia.

Malaysia menurunkan barisan terbaik yang diketuai penggempur utama, Luqman Hakim Shamsudin, di samping Muhammad Firdaus Kaironisam di bahagian tengah.

Bagaimanapun, gandingan itu gagal menggugat keampuhan pertahanan Thailand yang sudah bersedia untuk merantai pergerakan dua pemain utama skuad negara itu.

Tempoh 30 minit pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling merencanakan gerakan menyerang yang ditamatkan dengan penyudah lemah.

Skuad kendalian Brad Maloney itu cemas pada penghujung separuh pertama apabila Thailand hampir memecah kebuntuan menerusi percubaan Sittthinan yang tersasar biarpun pintu gol di depannya sudah terbuka luas.

Di sebalik penguasaan Malaysia dalam babak kedua, kesilapan Firdaus Iman, yang cuba mengawal bola di luar kotak penalti, mengundang padah apabila Sitthinan bijak mencuri bola untuk menebus kesilapan awalnya pada minit ke-69.

Sementara itu, Kemboja, yang dilihat sebagai pasukan bukan pilihan, memainkan peranan penting bagi membantu kemaraan skuad negara dengan menewaskan tuan rumah, Vietnam, 2-1 di Stadium Thong Nhat.

Asakan bertali arus daripada tuan rumah, yang terdesak memburu kemenangan untuk membuka peluang ke separuh akhir, dimanfaatkan Kemboja untuk menghasilkan gol pembukaan hasil sentuhan pemusnah Sieng Chantea pada minit ke-51.

Enam minit masa kecederaan yang diberikan pengadil dari Laos, Souei Vongkham, pada awalnya seakan-akan kurniaan buat skuad tuan rumah itu apabila Nguyen Kim Mhat mengikat kedudukan pada minit ke-92.

Namun, seakan-akan putaran roda, tambahan masa itu jelas terlalu lama apabila Thy Lieng bijak mencuri ruang untuk menyudahkan gol saat-saat akhir bagi menguburkan harapan Vietnam ke separuh akhir.

KEPUTUSAN LAIN:

SINGAPURA 0 AUSTRALIA 5

KEDUDUKAN KUMPULAN B:

1. AUSTRALIA (12 MATA)
2. MALAYSIA (9 MATA)
3. VIETNAM (7 MATA)
4. KEMBOJA (6 MATA)
5. THAILAND (5 MATA)
6. SINGAPURA (4 MATA)

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen