Ketua jurulatih skuad B-18 tahun negara, Brad Maloney, melabel aksi pertama dengan tuan rumah, Vietnam, di Stadium Thong Nhat petang esok sebagai aksi hidup mati demi kelangsungan skuad negara dalam Kejohanan AFF B-19.

Vietnam diangkat sebagai pasukan pilihan di sebalik Malaysia membawa kredibiliti selaku bekas juara edisi lalu, maka Maloney menganggap faktor itu belum cukup kuat untuk anak buahnya berasa selesa.

Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri selain kualiti yang dimiliki barisan bimbingan Hoang Anh Tuan itu sudah pasti tidak menjanjikan ujian mudah buat skuad B-19 negara.

"Vietnam adalah sebuah pasukan yang amat mantap berikutan sering memberikan saingan kompetitif dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Sukar untuk menembusi pertahanan mereka sementara lazimnya, mereka mempunyai pemain berbisa dan bagus.

"Kami menjangkakan satu pertembungan sengit esok dan faktor sebagai tuan rumah pasti akan merangsang mereka," katanya.

Sesi latihan rasmi hari ini gagal memihak kepada pasukan negara apabila terpaksa berlatih dalam keadaan hujan lebat.

Jadual latihan rasmi juga mengelirukan apabila ia berlangsung serentak dengan Vietnam pada jam 7 malam waktu Malaysia.

Justeru, selepas Maloney membantah, sesi untuk skuad negara diubah kepada 12 tengah hari waktu Malaysia.

"Semuanya dalam keadaan baik ketika ini.

"Pemain perlu menyesuaikan diri dan sejurus latihan hari ini, saya mungkin akan mendapat ilham yang lebih jelas berhubung siapa yang bakal diturunkan esok," katanya lagi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang turut membariskan Australia, Kemboja, Singapura dan Thailand.