VIETNAM 1 MALAYSIA 0

Hasrat juara bertahan, Malaysia, untuk memulakan cabaran dalam Kejohanan AFF B-18 dengan langkah kanan lebur selepas tewas 1-0 di tangan tuan rumah, Vietnam, di Stadium Thong Nhat, sebentar tadi.


Jaringan di penghujung perlawanan oleh pemain gantian, Vo Minh Trong, hasil kesilapan benteng skuad kebangsaan, memaksa Malaysia tidak mempunyai pilihan selain meraih tiga mata dalam aksi kedua Jumaat ini.

Skuad negara bimbingan Brad Maloney -- yang berdepan cabaran perubahan jadual latihan rasmi beberapa hari sebelum perlawanan -- turun dengan misi mengutip tiga mata di depan penyokong lawan apabila mempertaruhkan penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 2018, Luqman Hakim Shamsudin.

Bagaimanapun, Vietnam terlebih dahulu menguji benteng skuad kebangsaan tatkala permainan baru berusia tujuh minit apabila Tran Manh Quynh melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan voli tetapi Firdaus Irman Mohd Fadhil melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Kegagalan Firdaus mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan kemas lima minit kemudian hampir menghukum skuad kendalian Maloney itu, namun kubu Malaysia diselamatkan oleh pengadil perlawanan dari Papua New Guinea, Clifford Daypuyat, yang mendakwa bola telah terkena tangan kapten, Bui Tien Sinh.

Tuah jadi penyelamat buat Malaysia pada minit ke-32 selepas bola lambungan Huynh Cong Den disambut kemas oleh Man Quynh tetapi walaupun Firdaus telah tertewas, bola percubaan penyerang itu sekadar singgah ke tiang.

Malaysia hampir mengejutkan ribuan penyokong tuan rumah selepas rehat apabila Firdaus Khaironnisam memperoleh peluang di depan gawang hasil umpanan dari sebelah kiri tetapi ledakan kaki kanannya melewati palang.

Sebaliknya, tuan rumah memecah kebuntuan ketika aksi berbaki dua minit apabila Umar Hakeem Suhar Redzuan gagal menyekat bola sepakan sudut dari sebelah kanan gawang oleh Minh Trong dan ketumpulan Luqman Hakim menyudahkan peluang pada minit terakhir menyaksikan anak buah Maloney gagal memulakan saingan dengan langkah kanan.

Malaysia bakal meneruskan cabaran di Vietnam dua hari lagi apabila turun berdepan Singapura bagi aksi kedua peringkat kumpulan.

"Ia satu perlawanan yang amat kompetitif. Tahniah buat Vietnam kerana beraksi dengan cukup baik sambil mencipta beberapa peluang.

"Barisan pemain saya bagaimanapun memperkemaskan permainan dalam babak kedua tetapi kami tidak bernasib baik kerana dibolosi pada saat-saat akhir," kata Maloney.