"Maaf," ujar kapten pasukan, Firdaus Irman Mohd Fadhil, yang mengambil tanggungjawab di atas kekalahan tipis 1-0 ke atas Thailand dalam Kejohanan AFF B-18 Tahun dengan menganggap kesilapan berpunca daripadanya.

Keputusan semalam benar-benar memberi kesan kepada Firdaus yang nampaknya gagal mengawal emosi sebaik tamat aksi dengan Thailand di Bandaraya Ho Chi Minh yang berkesudahan tewas 1-0.

Menerusi kemaraan ke saingan separuh akhir yang begitu dramatik, Firdaus menyifatkannya umpama peluang kedua untuk menebus kesilapan yang telah dilakukan.

"Sebagai ketua pasukan, saya mengambil tanggungjawab ini dan berharap untuk tidak mengulangi kesilapan ini. Saya sangat kecewa dengan apa yang telah berlaku tetapi rakan sepasukan dan seluruh staf kejurulatihan memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Pemain itu juga mohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanah air dan rakan sepasukan di atas kesilapan yang berlaku sehingga meletakkan Malaysia dalam keadaan terpaksa bergantung kepada perlawanan di antara Vietnam dan Kemboja yang berlangsung pada hari yang sama.

"Saya sentiasa berpegang bahawa sentiasa belajar daripada kesilapan dan dalam perlawanan ini (semalam), ia berlaku lagi. Saya cuba memberitahu kepada diri sendiri bahawa setiap orang melakukan kesilapan."

Tegas Firdaus, dia menimba pengalaman baru dan berjanji untuk mempamerkan aksi lebih baik menjelang aksi dengan Indonesia, esok.

Jurulatih penjaga gol skuad B-18 negara, Yong Wai Hwang, mempertahankan anak buahnya yang dianggap masih dalam proses pembelajaran.

Tegasnya, amat tidak adil untuk dia menghukum Firdaus atas satu kesilapan ketika pemain tinggi lampai itu sudah banyak menyelamatkan gawang negara sepanjang kejohanan berlangsung.

"Penjaga gol saya harus mempertingkatkan lagi mutu permainan dalam mengawal keadaan serta memberikan impak yang lebih besar selepas ini. Ini merupakan langkah pertama dan jika berkesempatan untuk ke Kejohanan AFC, mereka harus bermain dengan lebih baik," katanya.

Tambahnya lagi, dia berbangga dengan kredibiliti tiga penjaga gol yang dibawa dalam kejohanan kali ini dan yakin mereka mempunyai masa depan yang cerah.

"Lumrah sebagai penjaga gol adalah menafikan setiap percubaan lawan. Tetapi kami melihat lebih daripada sudut itu. Kami juga menilai menerusi kebolehan penjaga gol dalam memulakan pergerakan serangan sementara persembahan sepasukan."