Kejohanan AFF B-18: Firdaus lega Malaysia raih tiga mata

Oleh Staff Writer 11 Ogos 2019 3811
Kejohanan AFF B-18: Firdaus lega Malaysia raih tiga mata
Pemain pertahanan skuad B-18 negara, Firdaus Ramli, lega sasaran tiga mata ke atas Kemboja menjadi kenyataan dan lebih manis ia berlaku ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.

Dengan kredibiliti Kemboja yang terdahulu berjaya melakar kemenangan ke atas Thailand, ramai yang beranggapan Malaysia berhadapan cabaran sukar.

Turun dengan moral yang baik selepas kemenangan ke atas Singapura, skuad bimbingan Brad Maloney itu tidak gentar, malah lebih bersedia dengan mengambil risiko tidak menurunkan barisan utama.

"Saya sangat gembira kerana berjaya menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini," kata Firdaus.

Ketiga-tiga jaringan Malaysia hadir dalam separuh masa pertama, dengan kapten negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, membuka jaringan pada minit ke-18 sebelum Muslihuddin Atiq Mat Zahid menambah jaringan pada minit ke-36.

Firdaus melengkapkan kemenangan Malaysia apabila berjaya memperdayakan pertahanan Kemboja dan tenang menyempurnakan jaringan ketiga menerusi sepakan percuma kaki kiri pada minit ke-45.

"Saya berasakan kami bermain dengan baik. Kami mula memperbaiki mutu permainan dan peningkatan harus dilakukan sebelum menghadapi perlawanan berikutnya," kata Maloney.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen