Pengendali skuad B-15 (B-15) negara, P. Maniam, menyuarakan keyakinan terhadap barisan anak buahnya menjelang aksi final Kejohanan AFF B-15 2019 berdepan tuan rumah, Thailand, di Chonburi esok (7 malam waktu Malaysia).

Selepas membenam Vietnam 3-1 dalam aksi separuh akhir semalam untuk menepati sasaran mara ke final, Maniam menyifatkan sokongan motivasi sebagai tonik terbaik yang diperlukan pemain untuk meneruskan rentak cemerlang di pentas akhir.

Beliau mengakui barisan pemainnya telah menampilkan persembahan terbaik sepanjang kejohanan, terutama aspek disiplin ketika bertahan dan menyerang.

"Kita tidak boleh meletakkan tekanan kepada pemain kerana pasukan ini lebih kepada pembangunan.

"Apa yang perlu dilakukan adalah untuk sentiasa memberikan mereka motivasi dan bersemangat untuk sentiasa mempamerkan prestasi yang terbaik, sama ada secara individu mahupun secara berkumpulan," katanya seperti dipetik dalam kenyataan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) hari ini.

Pada masa sama, Maniam menolak andaian bahawa prestasi cemerlang pasukannya sehingga menghasilkan kejayaan layak ke final adalah disebabkan dirinya.

Sebaliknya, bekas jurulatih Selangor itu mengakui segala yang dicapai pasukannya sepanjang kejohanan itu tidak mampu diraih tanpa komitmen tinggi barisan kejurulatihannya yang sentiasa memfokuskan terhadap tahap kecergasan pemain.

"Pujian seharusnya diberikan kepada barisan kejurulatihan pasukan ini. Setiap pagi mereka akan berjumpa pemain untuk melakukan ujian doping bagi menilai kadar penyahhidratan pemain. Mereka juga sentiasa bertanya kepada pemain berkaitan perasaan pemain pada awal pagi bagi menjamin mereka dalam prestasi terbaik.

"Kemenangan yang diraih sehingga hari ini juga adalah kejayaan untuk semua pihak yang sentiasa memberi sokongan. Tanpa semangat kerjasama ini, mustahil untuk kejayaan ini dapat dicapai," tambahnya.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 dalam final menerusi penentuan penalti susulan terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

-- BERNAMA