Korea Selatan mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan D untuk menempah slot suku akhir berdepan Malaysia selepas menewaskan Australia 3-2 dalam Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, China, sebentar tadi.

Tampil selaku pasukan pilihan, Korea Selatan tetap tidak terlepas daripada ancaman hebat Australia yang garang menyerang dalam usaha menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.

Namun, Korea Selatan yang mengamalkan corak bertahan dan serangan pantas berjaya mendahului perlawanan menerusi gol Lee Keun-ho pada minit ke-18.

Korea Selatan terus garang apabila menambah gol kedua menerusi Seung-Gyu Han seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Keun-ho nyata menjadi senjata utama mereka apabila sekali lagi meletakkan namanya selaku penjaring pada minit ke-65 untuk Korea Selatan selesa mendahului 3-0.

Australia, yang semakin terdesak, akhirnya berjaya menjaringkan dua gol dalam masa empat minit, bermula dengan jaringan Nick Cowburn pada minit ke-72, diikuti gol kedua menerusi Trent Buhagiar pada minit ke-76.

Bagaimanapun, Korea Selatan berjaya mengesahkan kemenangan 3-2 untuk bertemu Malaysia dalam suku akhir, Sabtu ini.

Sementara itu, Vietnam memastikan slot suku akhir untuk berdepan Iraq selepas mengikat Syria 0-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D.

Vietnam, yang mahu mencipta kejayaan sensasi mara ke suku akhir, perlu mengelak kekalahan.

Syria mempamer aksi mantap menerusi percubaan bahaya, malangnya dinafikan penjaga gol mereka, Bui Tien Dung.

Babak pertama tamat tanpa sebarang gol, dan asakan bertali arus Syria dalam separuh masa kedua juga hampa.

Vietnam akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan 0-0 untuk mencuri satu mata dan mara ke suku akhir dengan dibantu kekalahan Australia.