"Hanya kemenangan mutlak," itu tuntutan jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim, yang mahu anak buahnya mencetak kemenangan ke atas Jepun dalam aksi Kejohanan AFC B-16 Tahun selain mengelak sebarang situasi bergantung kepada pasukan lain.

Hakikatnya, Malaysia terikat dengan Thailand dengan kutipan tiga mata secara keseluruhan, namun ketinggalan daripada segi jaringan.

Situasi itu bukan khabar baik pada Teong Kim, yang mendesak anak buahnya melakar kejutan ke atas juara bertahan, Jepun, esok.

Mengetahui ia bukan hal mudah, namun Teong Kim percaya dengan ungkapan segalanya mampu berlaku dengan merujuk kepada kejutan ketika Tajikistan meraih keputusan seri dengan Jepun, kelmarin.

"Seperti perlawanan sebelum ini, kami mahu mencapai kemenangan. Itu adalah harapan terbaik kami," kata Teong Kim.

Turut melabelkan dua kad merah dalam dua perlawanan lalu sebagai satu perkembangan kurang baik, namun hal itu dianggap sebagai proses pembelajaran buat anak buahnya.

"Ini merupakan pertandingan untuk pemain-pemain muda dan mereka akan membuat kesilapan. Ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran," ujarnya.

Aksi esok bakal menyaksikan penampilan semula penjaga gol utama, Sikh Izhan Nazrel, namun Malaysia kehilangan kelibat Luqman Hakim Shamsuddin yang menjalani penggantungan kad merah.