Jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim, menyuarakan kesediaan untuk sekali lagi beradu kekuatan dengan Jepun apabila diundi dengan gergasi Asia itu dalam Kumpulan A, Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 di Kuala Lumpur, September depan.

Selain Jepun, barisan muda negara turut berada bersama dengan Thailand dan Tajikistan dalam kumpulan itu.

Sebelum ini, skuad B-16 negara tewas 4-0 kepada Jepun dalam saingan kelayakan kejohanan itu di Indonesia pada September tahun lalu.

Namun, Teong Kim menegaskan pasukannya akan lebih bersedia menangani Jepun kali ini.

"Kami sudah lihat bagaimana mereka bermain dan membandingkan dengan kesilapan kami. Jadi, setakat ini tiada masalah," katanya.

Teong Kim juga kekal optimis sasaran menduduki empat tempat terbaik untuk ke Piala Dunia B-17 pada tahun depan mampu diraih meskipun sedar Thailand dan Tajikistan akan turut memberi cabaran kuat.

"Taijikistan adalah bekas negara jajahan Russia tetapi tidak banyak yang saya tahu mengenai mereka manakala Thailand tidak menjadi masalah kerana kami tahu cara mereka beraksi, begitu juga mereka. Ia bukan satu isu.

"Perancangan bukan baru bermula hari ini kerana perancangan sudah dilakukan sebelum ini. Kami sudah cukup bersedia," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kejohanan AFC B-16, Johari Ayub, mengesahkan saingan kali ini akan hanya membabitkan tiga stadium, iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium UiTM Shah Alam dan Arena Universiti Malaya.

"Itu untuk pasukan yang berada di sekitar Lembah Klang dan memudahkan semua pihak tetapi Stadium Bukit Jalil dikhaskan buat pemain Malaysia," kata Johari.

Kumpulan A
Malaysia
Jepun
Thailand
Tajikistan

Kumpulan B
Korea Utara
Oman
Yemen
Jordan

Kumpulan C
Iran
Vietnam
India
Indonesia

Kumpulan D
Iraq
Korea Selatan
Australia
Afghanistan