Jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim, melabel setiap pasukan memiliki kekuatan tersendiri menjelang aksi kedua Kejohanan AFC B-16 berdepan Thailand.

Walaupun Thailand merupakan kuasa besar di pentas Asia Tenggara, itu langsung tidak menggerunkan Teong Kim.

Beliau sebaliknya menegaskan hanya pasukan yang lebih bersedia mampu mencorak keputusan yang memihak kepada mereka dan hal itu adalah keutamaannya sehari sebelum aksi kedua bertemu Thailand esok.

"Persiapan kami masih sama walaupun berdepan Thailand kerana ini adalah perlawanan antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun, Teong Kim tidak menafikan kebangkitan yang mahu dicipta Thailand ke atas Malaysia selepas mereka tewas 5-2 kepada Jepun dalam aksi pembukaan.

"Thailand mahukan kemenangan kerana telah tewas kepada Jepun. Kami menghormati setiap pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini."