Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara,​​​​​​​ Lim Teong Kim menyalahkan pengadil selepas Malaysia tumpas 2-4 kepada ​​​​​​​Thailand dalam aksi kedua Kumpulan ​​​​​​​A, Kejohanan AFC B-16, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Th​​​​​​​ailand memperoleh dua gol akhir selepas Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penyerang, Luqman Hakim Shamsudin, diperintah keluar padang pada minit ke-50 susulan terjahan keras ke atas pemain lawan.

Teong Kim berkata keputusan pengadil, Omar Mohamed Ahmed Hassan Al-Ali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), itu memberi kesan terhadap momentum skuad muda negara bagi meraih kemenangan untuk layak ke peringkat suku akhir.

“Selepas bangkit mengikat kedudukan 2-2, saya berasakan pengadil ‘membunuh’ permainan kami dengan kad merah yang meragukan. Kami baru melihat rakaman video, jika beliau memahami bola sepak, beliau tidak akan melayangkan kad merah. Paling tidak kad kuning sahaja atau mungkin tidak menerima apa-apa (kad).

“Saya langsung tidak boleh menerima layangan kad merah itu. Keputusan itu menjejaskan corak permainan kami kerana bermain dengan kurang seorang pemain bukannya mudah tetapi itulah bola sepak,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Teong Kim berkata tindakan Luqman itu biasa dalam bola sepak sambil menyifatkan keputusan melayangkan kad merah itu tidak akan berlaku sekiranya pengadil benar-benar memahami bola sepak.

“Dia hanya mahu mendapatkan bola dan tidak berbuat apa-apa kesalahan. Ia gerakan biasa bagi seorang pemain, malah pemain lawan datang dari arah tidak diketahuinya.

“Anda perlu menjadi seorang pemain bola sepak sebelum membuat keputusan seumpama itu, jika tidak ia menjadi sangat sukar,” katanya.

Teong Kim, bagaimanapun, berpuas hati dengan semangat ditunjukkan pemainnya dan optimis peluang skuad muda negara mara ke suku akhir masih terbuka.

“Segalanya belum berakhir, pemain-pemain beraksi dengan baik. Mereka menunjukkan kesungguhan dan semangat juang yang hebat. Mereka mampu bangkit bertenaga dalam perlawanan itu. Ini menunjukkan mereka pejuang tetapi nasib tidak menyebelahi kami hari ini,” katanya.

Malaysia perlu meraih tiga mata berharga dalam aksi terakhir kumpulan menentang Jepun, Rabu ini, bagi mencerahkan peluang ke peringkat suku akhir.

-- BERNAMA