Pasukan Malaysia yang baru sahaja menjuarai Kejohanan AFF B-15 2019 dua hari lalu yakin mampu memberi cabaran kepada Jepun dan mara daripada peringkat kumpulan dalam kempen kelayakan untuk Kejohanan AFC B-16 2020 di Laos dari 18 hingga 22 September depan.

Penyerang skuad B-15 negara, Mohamad Khairil Mohd Zain, berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa pasukannya yang cemerlang serta semangat berpasukan yang tinggi.

"Insya-Allah boleh tewaskan Jepun, kebanyakan (pemain) pasukan kami ini semua ada inspirasi nak lawan, komitmen, percakapan semua ada dalam pasukan ini.

"Jepun adalah (pasukan) gergasi Asia dan kami percaya dengan skuad ini, insya-Allah kami boleh 'makan' Jepun," katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Kemboja dan Laos yang merupakan pasukan tuan rumah bagi kempen kelayakan peringkat kumpulan itu.

Sementara itu, pemain pertahanan, Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar, yang senada dengan Khairil berkata pasukannya bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah pasukan Jepun.

"Kalau tengok perlawanan menentang Kemboja itu, di atas kertas kami boleh 'makan' tetapi kami tidak boleh ambil mudah dengan Jepun dan perlu fokus, yakin serta beri 200 peratus komitmen dalam pasukan," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad B-15 negara, P. Maniam, yang turut berasa yakin dengan kemampuan anak buahnya membenam Jepun, bagaimanapun, melihat Laos juga bakal memberi saingan hebat kepada pasukannya dalam kejohanan akan datang itu.

"Memang kami nampak boleh menang dengan Kemboja tetapi Laos susah sikit sebab saya rasa mereka bermain dengan lebih bertahan, bukan senang, tetapi dengan pemain-pemain ini, saya rasa kami berkeyakinan bahawa kami boleh melakukan yang terbaik dengan Jepun.

"Keyakinan pemain begitu baik tetapi kami harus membuat persiapan lebih baik daripada yang sebelum ini kerana akan membantu pemain bermain dengan lebih yakin dan teratur," katanya.

Skuad B-15 negara disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam setelah bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengalahkan juara tiga kali, Thailand, 2-1 di Stadium IPE Chonburi, Thailand dalam aksi final, sekali gus menjadi juara Kejohanan AFF B-15 2019.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal, dan Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, turut bersama meraikan skuad B-15 negara itu.

-- BERNAMA