Kapten skuad bola sepak B-16 negara, Muhammad Hariz Mansor, tidak gentar dengan faktor fizikal yang lebih memihak kepada lawan, Tajikistan, dengan harapan strategi diatur oleh pengendali, Lim Teong Kim, berhasil dalam aksi sulung Kejohanan AFC B-16 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang esok.

Peluang terbaik Malaysia untuk memastikan laluan mudah di peringkat Kumpulan A adalah dengan menumpaskan Tajikistan terlebih dahulu.

Jika dibandingkan dengan barisan pemain negara, Tajikistan mempunyai faktor fizikal yang lebih meyakinkan untuk menguasai perlawanan esok.

"Kami fokus kepada kekuatan sendiri.

"Fizikal kami tidaklah besar sangat tetapi semangat adalah penting untuk menghadapi Tajikistan.

"Dengan ilmu yang dicurahkan jurulatih, kami akan berikan yang terbaik," kata Hariz.

Namun, Hariz tidak menganggap faktor sebegitu sudah cukup untuk Malaysia ditewaskan dengan begitu mudah tatkala Teong Kim mempunyai ramuan terbaik dalam memastikan kemenangan buat pasukan.

Jaringan awal turut memainkan peranan dalam memastikan momentum skuad negara terus meningkat untuk menguasai perlawanan selain ingin menghadirkan tekanan lebih awal kepada lawan.

"Kami akan memburu gol awal bagi meningkatkan semangat kami sehingga habis perlawanan.

"Sudah tentu kami tidak mahu ulangi kesilapan yang sama, ia boleh dijadikan pengajaran," katanya.