MALAYSIA 0 JEPUN 2

Hasrat Malaysia untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan AFC B-16 berkecai apabila terkandas di peringkat kumpulan selepas tumbang 0-2 kepada Jepun di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Selepas ditangguhkan ekoran cuaca buruk petang semalam, Malaysia dan Jepun akhirnya membuat perhitungan terakhir Kumpulan A pagi ini.

Aksi kelayakan Piala Dunia yang berlangsung di Indonesia tahun lalu menyaksikan Jepun menang 4-0 dan situasi itu pastinya enggan dibiarkan berulang oleh anak buah Lim Teong Kim memandangkan kemenangan menjadi pilihan lebih baik untuk menyalakan peluang ke suku akhir.

Namun, aksi kelam-kabut di dalam kotak penalti membenarkan gol pembukaan skuad muda Samurai Biru itu pada minit ke-37 hasil penyudah tajam Shoji Toyama.

Malaysia, bagaimanapun, terus bergelut dalam pemburuan jaringan pada babak kedua.

Perkembangan dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di UM Arena yang berlangsung serentak menyaksikan Tajikistan sedang mendahului Thailand dengan satu gol, bagaimanapun tidak dapat menjelmakan semangat luar biasa pemain B-16 negara yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara.

Sebaliknya, skuad B-16 negara berputih mata sebaik rembatan deras Hikaru Naruoka merobek gawang negara untuk gol kedua Jepun pada masa kecederaan.

Dalam masa sama, Tajikistan yang dibelasah Malaysia 6-2 dalam perlawanan pembukaan, mara ke pusingan kalah mati apabila menewaskan Thailand 2-1.