Kejayaan skuad negara membuka kempen Kejohanan AFC B-16 dengan kemenangan 6-2 ke atas Tajikistan semalam menawarkan pelbagai pandangan positif seperti aksi luar biasa Luqman Hakim Shamsudin yang membangkitkan tanda tanya.

Luqman Hakim meledak empat gol dan setiap daripadanya menawarkan petanda bahawa dia penyerang muda berbakat.

Daripada setiap jaringan itu, Luqman Hakim melihat gol pembuka tirai perlawanan sebagai paling istimewa buatnya.

"Saya bangga dapat menjaringkan empat gol untuk membantu Malaysia meraih tiga mata.

"Gol pertama yang dijaringkan istimewa kerana saya tidak pernah membuat penyudah seperti itu.

"Saya ingin menjadi penjaring terbanyak kejohanan selain membawa Malaysia ke suku akhir," kata Luqman Hakim .

Persoalannya, apakah kualiti seperti ini mampu membuat ketua jurulatih negara, Lim Teong Kim, teruja?

"Ya, dia menjaringkan gol tetapi tanpa bantuan rakan sepasukan, dia tidak akan mampu meledak.

"Apa jua yang dilakukan di peringkat remaja ini, ia membabitkan usaha sepasukan.

"Biarpun Luqman Hakim menjaringkan gol, kita perlu melihat kepada gerakan keseluruhan bagaimana gol itu dijana.

"Ia sesuatu yang bagus buat Luqman Hakim," ujar Teong Kim.

Antara insiden yang sedikit mencalar aksi hampir sempurna Malaysia adalah layangan kad merah ke atas penjaga gawang, Sikh Izhan Nazrel, menuju penghujung perlawanan.

Insiden berkenaan sudah pasti menjadi kehilangan besar menjelang pertembungan menentang Thailand pada Ahad ini.

"Sudah tentu dia berasa sedih.

"Dia menampilkan aksi hebat tetapi seperti yang saya katakan, ia bukan satu masalah langsung kerana ini adalah sebahagian daripada pelajaran.

"Hanya apabila pemain-pemain muda ini dibenarkan membuat kesilapan, maka mereka akan belajar mengenainya," tambah Teong Kim.