Ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim, menganggap tiada alasan untuk anak buahnya tewas kepada Tajikistan dalam aksi pertama Kumpulan A Kejohanan AFC 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang esok yang menjadi perlawanan wajib menang sebelum berdepan Thailand dan juara dua kali, Jepun.

Perlawanan pertama ini harus diakhiri dengan kemenangan untuk Malaysia sekurang-kurangnya dapat mengharungi cabaran peringkat kumpulan dengan lebih mudah sebelum berdepan aksi lebih sengit menentang Thailand dan Jepun.

Bukan menidakkan kemampuan Tajikistan, peluang terbaik ini perlu digunakan sebaik-baiknya andai Malaysia ingin menduduki kedudukan dua teratas Kumpulan A.

Teong Kim percaya barisan anak buahnya sudah cukup bersedia.

"Ini bukan lagi rahsia.

"Semua pasukan yang bertanding tahu kekuatan dan kelemahan setiap pasukan.

"Kami ingin menang kerana kami memerlukan permulaan yang baik," kata Teong Kim.

Bagi pengendali Tajikistan, Rakhimov Zaynidin, dilabel sebagai pasukan bukan pilihan dalam kumpulan tidak mematahkan semangat pemain, sebaliknya menganggap ia satu kelebihan untuk turun tanpa tekanan bagi melakar kejutan ke atas tuan rumah.

"Kami memang tidak tahu kekuatan Malaysia.

"Kami akan cuba yang terbaik dan tidak mustahil untuk melakar kemenangan," kata Zaynidin.