Ketua pasukan PDRM FA, Safuwan Baharuddin, meraikan kepulangannya bersama pasukan dengan membantu The Cops merakam kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.

Pemain antarabangsa Singapura itu baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut yang menyebabkan tersisihnya dalam empat perlawanan sebelum ini.

Bagi Safuwan, dia mengaku lega mampu membantu PDRM kembali menemui rentak kemenangan di samping optimis misi ke Liga Super musim depan masih dalam jangkauan mereka.

"Saya mula turun menjalani latihan ringan sejak dua minggu lepas.

"Bukan mudah, sebenarnya (untuk kembali beraksi) kerana enggan terlalu mendesak diri sendiri.

"Saya akan mengambil pendekatan menghadapi satu perlawanan demi satu perlawanan.

"Bersama pasukan, kami fokus untuk merebut kedudukan lima terbaik Liga Perdana bagi melayakkan diri ke Piala Malaysia.

"Kalau sudah sah layak, kami akan mencuba untuk merebut kedudukan kedua Liga Perdana," katanya.

Dalam pada itu, rakannya di bahagian serangan, Dao Bakary, pula menyifatkan kehadiran semula Safuwan mampu menyuntik keyakinan di kalangan pemain-pemain lain untuk memburu kemenangan ke atas skuad Warga Kota.

Bakary mencetak gol pertamanya bersama PDRM pada minit ke-52, sebelum Nabil Ahmad Latpi menyumbang jaringan kedua dalam masa kecederaan.

"Safuwan merupakan ketua pasukan dan tonggak penting kami.

"Empat perlawanan lalu, dia terpaksa diketepikan dan sebaik dia bersama kami di atas padang, dia menyuntik keyakinan rakan-rakan.

"Kehadirannya mampu menjana kemenangan kami, sebab itulah kami gembira," ujar Bakary pula.