Pengarah AS Roma, Mia Hamm, percaya kehadiran Cristiano Ronaldo ke saingan Serie A bakal membuatkan tahap liga bola sepak Itali semakin meningkat.

Ronaldo menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Juve untuk melengkapkan perpindahan sensasi bernilai RM533 juta dari Real Madrid, di mana dia memenangi empat trofi Liga Juara-Juara Eropah dalam masa lima tahun.

Roma pula menjual penjaga gol Brazil, Alisson, kepada Liverpool menerusi yuran perpindahan sekitar RM345 juta, sekali gus mencipta rekod dunia yang baru buat seorang penjaga gol.

Namun, Hamm yang merupakan ikon bola sepak Amerika Syarikat, yakin ketibaan Ronaldo tidak akan membuatkan Juventus terus mendominasi Serie A dengan mudah selepas memenanginya selama tujuh tahun berturut-turut.

"Bagi kami, Roma sentiasa bersaing dengan Juventus, jadi ia hanya menjadi satu cabaran baru. Jelas sekali, Ronaldo seorang ikon," katanya.

"Pemain terbaik dunia hadir ke Serie A memberikan banyak perkara. Saya rasa ia akan meningkatkan aras serta tahap buat semua pasukan dan Roma turut sama.

"Banyak pihak akan membuka mata kepada kelab Serie A. Apabila dia beraksi, dia akan bersaing dalam setiap langkah di atas padang dan dia akan meningkatkan tahap semua orang di sekelilingnya.

"Liga ini akan memberi reaksi, saya pasti. Bersama Roma, itu yang kami rancangkan," katanya.

Untuk menghadapi musim 2018/19, Roma telah membawa masuk beberapa nama baru, termasuk Javier Pastore, Justin Kluivert, Ivan Mercano dan Davide Santon.