Pep Guardiola menyifatkan Ronaldinho telah membantu Barcelona menemui semula identiti dalam membentuk sebuah pasukan yang digeruni di Eropah.

Pemain berusia 37 tahun itu, yang tidak beraksi secara kompetitif sejak 2015, mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak.

Pemain yang penuh berbakat itu akan sentiasa memiliki kenangan manis bersama Barcelona apabila membantu pasukan menjuarai LaLiga tiga kali berturut-turut dan satu gelaran Liga Juara-Juara (UCL) di samping memenangi Ballon d'Or.

Guardiola menganggap kehadirannya memainkan peranan penting ketika Barcelona mendominasi saingan domestik serta Eropah.

"Ketika Joan Laporta dilantik sebagai presiden kelab, beliau telah membuat impak besar dengan membawa masuk Ronaldinho dan dia telah menjadi pemain yang berpengaruh buat Barcelona," kata Guardiola.

"Ia membantu Barca menemui semula tahap keyakinan setelah sekian lama menyepi.

"Ronaldinho telah mengharungi beberapa tahun yang baik bersama Barcelona -- dia telah memenangi liga dan UCL.

"Saya mengucapkan yang terbaik buat dirinya pada masa akan datang. Dia bukan sahaja memberikan impak kepada Barcelona, malah kepada dunia bola sepak," katanya lagi.