GUINGAMP 1 PSG 3

Kylian Mbappe menyelamatkan Paris Saint-Germain (PSG) dengan dua jaringan lewat permainan untuk membolehkan juara bertahan Ligue 1 itu bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Guingamp di tempat lawan, awa pagi tadi.


Selepas aksi tidak meyakinkan dalam babak pertama, pengendali PSG, Thomas Tuchel, membawa masuk Mbappe dalam separuh masa kedua.

Bintang muda itu membalas kepercayaan yang diberikan dengan gandingan mantap bersama Neymar, pemain yang menyamakan kedudukan selepas kesilapan Jordan Ikoko dalam kotak penalti.

Neymar tampak jauh daripada aksi terbaik tetapi meraih gol kedua peribadi dalam saingan liga untuk memadamkan jaringan pendahuluan lawan menerusi Nolan Roux tatkala Guingamp tidak bernasib baik apabila jaringan seterusnya dinafikan oleh pengadil.

Bagaimanapun, Mbappe menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan selepas menyumbat dua gol dalam lapan minit terakhir untuk memastikan rekod kemenangan 100 peratus PSG di bawah bimbingan Tuchel.

Selepas Gianluigi Buffon menolak bola ke palang gol untuk menafikan percubaan awal, Roux tidak melakukan kesilapan pada minit ke-20 untuk menghadiahkan Guingamp jaringan pembukaan.

PSG bernasib baik tidak ketinggalan dua gol sebelum aksi memasuki minit ke-30. Marcus Coco memperdayakan Buffon dan melakukan hantaran untuk ditanduk masuk Benezet, namun setelah kajian Video Bantuan Pengadil (VAR), Clement Turpin membatalkannya dan mendakwa wujud kesalahan ke atas Colin Dagba.

Kemasukan Mbappe nyata mengubah nasib PSG dan pelawat menyamakan kedudukan selepas memasuki babak kedua tatkala Neymar menewaskan Karl-Johan Johnsson menerusi sepakan penalti.

Bintang Perancis itu tidak berdepan masalah untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan menyempurnakan hantaran kemas Angel Di Maria sebelum bijak melambungkan bola pada minit terakhir untuk menang 3-1.