Kegagalan perlu untuk timba pengajaran -- Maloney

Oleh Staff Writer 15 Ogos 2019 6607
Kegagalan perlu untuk timba pengajaran -- Maloney
Ketua jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, menganggap kekalahan 0-1 di tangan Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh hari ini sebagai pengajaran terbaik buat anak buahnya untuk bangkit menjelang perlawanan separuh akhir bertemu Indonesia, Sabtu ini.

Tewas tetapi mara ke separuh akhir.

Itulah yang berlaku kepada skuad negara apabila mengisi slot ke separuh akhir dalam keadaan tidak sempurna selepas tewas 0-1 kepada Thailand.

Bagi pengendali kelahiran Australia berkenaan, kegagalan itu perlu untuk anak buahnya menimba pengajaran berguna bagi menghadapi masa akan datang.

"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar menentang Thailand.

"Dalam kejohanan ini, mereka bermula agak perlahan, namun mereka semakin baik.

"Kami sudah menjangkakan perlawanan yang amat kompetitif hari ini.

"Ia bukanlah keputusan yang kami mahukan tetapi pada akhirnya, pemain telah melakukan yang secukupnya (untuk ke separuh akhir)," katanya.

Permulaan garang seperti yang ditunjukkan dalam tiga aksi terdahulu terhalang ekoran ketiadaan dua pemain utama, Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Sebaik wisel permulaan ditiupkan, Thailand lebih menguasai permainan dan hasrat Malaysia untuk memburu jaringan awal kelihatan amat sukar.

Konsep serangan balas pantas yang diterapkan barisan kendalian Ithsara Sritaro itu jelas memberikan kesukaran buat skuad negara.

Persembahan terlalu bersahaja daripada kapten negara merangkap penjaga gol, Firdaus Iman Mohd Fadhil, memakan diri apabila Thailand tidak mensia-siakan peluang menerusi Sitthinan Rungrueang pada minit ke-69.

Usaha Luqman Hakim Shamsudin dan Umar Hakeem Suhar Rezwal pula berakhir hampa pada penghujung perlawanan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen