"Saya hanya kecewa."

Itu komen pengendali negara, Tan Cheng Hoe, mengenai tindakannya tidak menghadiri sidang media sejurus pasukannya terus dipalit dengan 'sumpahan' di bumi Hanoi susulan tewas 0-1 kepada Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam tadi.

Dikenali sebagai jurulatih yang mempunyai perwatakan tenang, tindakan bekas jurulatih Kedah itu tidak menghadirri sidang media selepas aksi menentang Vietnam itu mengejutkan banyak pihak.

Malah, ia juga kali pertama jurulatih berusia 51 tahun itu berbuat demikian yang menyaksikan sidang media itu dihadiri oleh pembantunya, S. Balachandran.

Ia seolah-olah menggambarkan dirinya tidak dapat menerima kekalahan semalam tetapi Cheng Hoe ketika ditemui sebelum berlepas pulang ke tanah air hari ini tampil memberi penjelasan.

"Saya sebagai jurulatih agak kecewa dengan keputusan itu. Ia tidak bermaksud saya kecewa dengan sesetengah pemain tetapi ia bukan senang. Semua tahu Vietnam berada di tahap terbaik. Mereka mara ke suku akhir Piala Asia," katanya.

Bagaimanapun, dia tampak mengalami tekanan yang cukup tinggi susulan kegagalan anak buahnya menyerap taktikal pihak lawan daripada pengendalinya, Park Hang-seo.

Ia menyaksikan barisan pemain negara umpama 'mati akal' sehingga menyebabkan Harimau Malaya sekali lagi berputih mata di Hanoi selepas dua pertemuan Piala Suzuki AFF tahun lalu.

"Vietnam bermain dengan taktikal terbaik. Mereka tidak memberi sedikit ruang langsung buat Malaysia dan sudah tentu pemain negara tertekan sehingga tidak mampu tampil dengan aksi seperti biasa," tambahnya.

Sementara itu, Hang-seo mengakui tiada rahsia di sebalik keupayaan mereka menjinakkan Harimau Malaya buat kali ketiga di laman sendiri.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan kejayaan hadir selepas pemainnya mengikut segala arahan taktikal yang telah diberikan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain walaupun kami sekadar menewaskan Malaysia 1-0. Bagi saya, kemampuan kami untuk mengatasi lawan kali ini adalah kerana pemain berjaya mengikut perancangan yang sudah diatur dan ia berhasil," katanya.

Vietnam yang diperkuatkan dua pemain berpangkalan di Eropah, Doan Van Hau dan Nguyen Cong Phuong, ternyata lebih garang di atas padang tatkala pasukan ranking ke-99 dunia itu beberapa kali mencemaskan kubu skuad negara dan meraih gol menerusi Nguyen Quan Hai dalam babak pertama.

Kemenangan itu juga membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah setelah mengharungi dua perlawanan kelayakan saingan Kumpulan G itu.