PSG 9 GUINGAMP 0

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, meluahkan perasaan berbelah-bahaginya di sebalik kemenangan besar PSG ke atas Guingamp disebabkan kecederaan serius yang menimpa Marco Verratti.


PSG meraih kemenangan 9-0 dalam aksi di Parc des Princes awal pagi tadi -- menyamai rekod jaringan tertinggi mereka dalam saingan Ligue 1.

Bagaimanapun, mereka terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal ekoran kecederaan serius yang menimpa pemain tengah itu pada awal saingan.

Verratti didapati cedera di bahagian lutut kiri dan Tuchel mengesahkan pemain itu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Ketiadaan Adrien Rabiot -- yang turut menarik minat Barcelona -- mengakibatkan Tuchel mengalami kekurangan pilihan di bahagian tengah pasukannya dan mereka kini perlu berdepan Manchester United dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah tanpa khidmat Verrati, 12 Februari ini.

Pengendali PSG itu mengakui kehilangan terbarunya itu tidak mampu lagi ditampung pasukannya.

"Saya tidak mendapat sebarang perkhabaran dan ia bukan perkara baik," katanya kepada Canal+.

"Saya berasakan kecederaan yang menimpanya amat serius.

"Ia perkara terburuk yang pernah terjadi kepada kami.

"Saya gembira dan sedih dalam masa yang sama.

"Gembira kerana kami menang 9-0 dengan semangat dan kualiti terpuji daripada pemain.

"Kami menghasilkan banyak peluang, bermain dalam struktur yang betul dan memanfaatkan setiap serangan balas.

"Saya gembira dengan prestasi seperti itu.

"Namun, saya sedih dengan apa yang menimpa Marco.

"Dia berkemungkinan tidak dapat bermain selama beberapa minggu," katanya.