Pemain muda, Moise Kean, mahu memecahkan rekod bersama skuad kebangsaan Itali selepas menyumbat gol pertama di peringkat antarabangsa ketika membantu Azzurri menewaskan Finland 2-0, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Roberto Mancini itu meraih pendahuluan dalam aksi pertama saingan kelayakan Euro 2020 itu menerusi rembatan Nicolo Barella sebelum pemain muda Juventus, Kean, yang meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama, mengesahkan kemenangan menerusi gol kedua pada minit ke-74.

Kean muncul pemain termuda yang menghasilkan gol buat Itali sejak Bruno Nicole melakukannya pada 1958 dan pemain berusia 19 tahun itu menegaskan dia akan terus memecahkan rekod bersama Azzurri.

"Lebih daripada gembira. Saya meraih motivasi tambahan untuk terus bekerja keras," katanya.

"Masih terdapat banyak rekod untuk saya atasi dan saya tidak sabar melakukannya.

"Saya sentiasa cuba dan berusaha gigih, jadi saya bersedia apabila tiba masanya. Apabila menerima panggilan, saya gembira, teruja dan tidak sabar untuk membuktikan kemampuan.

"Jelas sekali sesi latihan di Juventus bersama Cristiano Ronaldo membuatkan mustahil untuk tidak belajar perkara baru setiap hari."

Kean melakukan penampilan pertama bersama Juve pada 2016, menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Verona sebelum kembali ke Turin musim ini dan kini telah tampil dalam tujuh perlawanan bagi semua kejohanan.

Mancini memuji Kean walaupun pemain itu cetek pengalaman dan pengendali itu juga memberikan penampilan pertama buat bintang baru AS Roma, Nicolo Zaniolo, sambil menyatakan keyakinan barisan muda itu akan membalas kepercayaannya.

"Kean mempunyai kualiti dan potensi besar. Segalanya bergantung kepada dia," ujar Mancini.

"Tidak sukar untuk melihat bakat Kean dan Zaniolo, jadi ia bukan satu risiko untuk memilih mereka.

"Banyak perkara perlu kami lakukan tetapi menjadi lumrah selepas lima bulan kami melakukan kesilapan. Kami perlu bekerja keras, berwaspada dalam setiap perlawanan."