Kelab Bola Sepak Kadazandusun Murut Malaysia (KDMM FC) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayar kesemua tuntutan mereka yang berjumlah hampir RM200,000.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata tuntutan itu termasuk bon dan pembayaran awal kepada pengadil bertugas yang dibayar kelab itu semasa menjadi tuan rumah sepanjang dua musim mereka bersaing dalam saingan Piala FAM, sebelum ini.

KDMM FC adalah antara kelab tempatan Sabah yang bersaing dalam saingan liga Piala FAM pada musim 2016 dan 2017 tetapi mengambil keputusan menarik diri musim ini.

"KDMM FC merayu kepada FAM terutama presidennya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mempertimbangkan rayuan kami ini.

"Jika tuntutan ini dilunaskan, ia akan membantu meringankan beban kewangan kelab, terutama dalam menyelesaikan tunggakan gaji pemain," kata dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Peter berkata penyertaan dalam saingan Liga Malaysia melibatkan kos yang besar dan kelab terpaksa menanggung sendiri semua kos kerana tiada bantuan daripada Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mahupun FAM.

Beliau juga difahamkan ada beberapa bekas pemain kelab itu telah membuat laporan ke Jabatan Buruh Sabah berhubung kelewatan pembayaran gaji.

"Kelab akan berusaha membuat pembayaran semua gaji yang tertunggak itu dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, oleh kerana perkara ini juga telah dibawa ke pengetahuan Jabatan Buruh, kelab KDMM bersetuju supaya tunggakan gaji pemain terbabit dibayar terus oleh FAM kepada pemain menggunakan duit yang kami tuntut," katanya.