Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menuntut agar Lim Teong Kim yang dibayar gaji lumayan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan Malaysia layak ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun 2019 sambil Program Pembangunan Bolasepak Begara (NFDP) akan diteruskan selepas melalui penstrukturan semula.

Teong Kim dipecat serta-merta sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kegagalannya membawa negara melepasi peringkat kumpulan Kejohanan AFC.

Bagaimanapun, dia masih di bawah kontrak sehingga 2020 atas lantikan sebagai pengarah Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di bawah NFDP.

Sejak Ogos 2013, Teong Kim difahamkan menerima imbuhan RM175,000 sebulan.

"Dia harus bertanggungjawab, khususnya sebagai pengendali utama skuad B-16 kebangsaan. Dia sendiri meletakkan penanda aras untuk melayakkan diri ke pentas Piala Dunia B-17.

"Saya juga dimaklumkan bahawa pakej gaji yang dia terima mencecah RM175,000 sebulan dan ketika ini dibiayai secara majoriti oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sejak 2014 sehingga hari ini, NFDP sudah berbelanja sebanyak RM80 juta dan bentuk penstrukturan semula akan diketahui pada 15 Oktober depan.

"Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah kita tidak boleh terburu-buru dan terus menghentikan NFDP. Ia adalah program akar umbi secara menyeluruh, cuma saya rasa ia memerlukan penstrukturan semula dan perlu ada perbincangan rapi bersama pemegang-pemegang taruh yang lain," tambahnya.