Gareth Southgate yakin Harry Kane mampu memecah rekod penjaring terbanyak England selepas kapten itu melakar hatrik ketika mengatasi Montenegro, sekali gus melayakkan pasukan ke saingan Euro 2020.

Kane menjaringkan tiga gol dalam separuh masa pertama ketika The Three Lions meraih kemenangan 7-0 di Wembley awal pagi tadi dalam aksi England yang ke-1,000.

Jaringan penyerang Tottenham itu menyaksikan dia kini telah meledak 31 gol -- mengatasi Alan Shearer, Tom Finney dan Nat Lofthouse -- dengan Michael Owen menjadi sasaran seterusnya dengan meledak 40 gol.

Wayne Rooney memegang rekod tersebut dengan 53 gol tetapi dengan Kane yang baru sahaja berusia 26 tahun, Soutgate percaya dia mampu mengatasi rekod tersebut, sekali gus bergelar penjaring terbanyak England sepanjang zaman.

"Ia merupakan pencapaian yang menakjubkan bagi Kane apabila anda bercakap mengenai pemain seperti Shearer, Finney dan Lofthouse," kata Southgate kepada Sky Sports.

"Kane sangat berbisa, dia berkemampuan untuk mengejar rekod tersebut dan memiliki masa yang banyak."

Bagaimanapun, pengurus England itu memberi amaran bahawa masih terdapat banyak usaha yang harus dipertingkatkan oleh Kane dalam membentuk skuad England, di mana jentera pertahanan sekali lagi kelihatan goyah walaupun mereka merakamkan kemenangan bergaya.

"Kami bagai dirahmati. Dengan adanya pemain-pemain seperti Kane, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan beberapa lagi pemain muda dalam pasukan ini, kami memiliki kemampuan meledak jaringan.

"Kami sentiasa meletakkan sasaran untuk menjaringkan gol. Kami mahu menghadirkan masalah kepada pasukan lawan.

"Kami perlu memastikan setiap bahagian dalam pasukan beraksi cemerlang jika mahu menjadi salah satu pasukan pilihan."