Kapten England, Harry Kane, menegaskan bahawa dia akan menggunakan Piala Dunia sebagai platform bagi membuktikan kualitinya apabila dia berhasrat untuk mencapai tahap Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Kane menjadi wira untuk England pada awal pagi semalam apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Tunisia dalam aksi pembukaan Piala Dunia skuad The Three Lions.

Pemain berusia 24 tahun itu berada di belakang Mohamed Salah dalam perebutan Kasut Emas Liga Perdana tetapi tetap menjaringkan 41 gol dalam semua pertandingan untuk Tottenham.

Setelah membawa prestasi baik itu ke Piala Dunia, Kane -- yang gagal menjaringkan gol dalam Euro 2016 -- berkata tiada batas dengan apa yang mampu dicapainya.

"Saya terpaksa membuktikan orang silap sepanjang kerjaya saya dan saya suka buktikan bahawa diri saya boleh melakukannya," katanya.

"Saya berkata sebelum ini saya sangat teruja berada dalam Piala Dunia.

"Euro mengecewakan saya, untuk semua orang, jadi ia adalah satu cabaran untuk memperbetulkannya. Tidak ada cara yang lebih baik daripada menang dan menjaringkan beberapa gol.

"Ronaldo adalah yang terbaik di dunia, begitu juga Messi, tetapi cabarannya ada bersama mereka. Untuk menjadi pemain terbaik dunia, kamu perlu bercita-cita tinggi. Jadi, jangan letakkan sebarang batasan pada diri sendiri.

"Saya bekerja keras untuk mendapatkan tempat di mana saya berada. Saya mempunyai keazaman tinggi, saya suka berada di sini dan ia tentang menonjolkan diri ke depan.

"Saya mahu membuktikan diri saya dalam kejohanan besar, saya mahu berada bersama pemain terbaik dunia dan satu-satunya cara adalah melakukannya di peringkat tertinggi," katanya lagi.