Presiden Kelab Bolasepak Victoria Institution (VIFC), Datuk Irwan Rizal Ali Napiah, menegaskan pihaknya sedang memperhalusi kesahihan Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diadakan Sabtu lalu.

Irwan menegaskan isu sebenar berhubung perkara itu adalah kegagalan KLFA untuk mengadakan kongres pemilihan dan bukannya pemecatan keahlian ahli gabungan.

Beliau mendakwa kongres itu dibuat tanpa adanya agenda pemilihan sedangkan Kongres KLFA Ke-31 merupakan kongres pemilihan.

"Mana pergi agenda pemilihan tersebut? Kenapa ia tidak diadakan? Apa yang takut dengan pemilihan? Kenapa perlu ada pemilihan? Untuk membuat perubahan kepada KLFA serta pembangunan bola sepak Kuala Lumpur," kata Irwan.

Terdahulu, KLFA bertindak tegas menggugurkan keahlian sembilan ahli gabungan, termasuk VIFC, atas dakwaan melanggar statut yang termaktub dalam persatuan itu.

"Surat mana atau keputusan mesyuarat yang mana mengatakan Pesuruhjaya Sukan (PJS) membenarkan kongres yang dijalankan pada 15 Jun perlu dijalankan kerana kami masih lagi berpandukan surat yang dikeluarkan PJS, Februari lalu," soalnya lagi.

Kongres ke-31 bagi pemilihan barisan kepimpinan baru KLFA sepatutnya berlangsung November tahun lalu, namun tertangguh ekoran berlaku kemelut dalaman.