Kapten skuad bawah 23 tahun negara, Adib Zainuddin, menyambut baik kem latihan pusat di Korea Selatan dan China sekalipun mereka akan berdepan lawan berbeza dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Skuad B-23 negara akan berdepan tiga gergasi Asia Barat dalam saingan Kumpulan C membabitkan pasukan Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Tatkala laluan sukar menanti mereka, Korea Selatan dan China menjadi destinasi latihan, dengan enam perlawanan persahabatan diatur sepanjang latihan pusat itu.

Biarpun tidak akan diuji oleh pasukan dari Asia Barat, Adib bagaimanapun percaya latihan di dua negara itu mampu memberi manfaat kepada pasukannya.

"Sebenarnya, salah satu faktornya adalah kami akan bermain di China. Jadi, kami perlu sesuaikan diri di China nanti. Sebab itu pasukan negara berlatih di sana dan Korea Selatan.

"Untuk bertemu dengan pasukan Timur Tengah itu, mungkin Datuk Ong (Kim Swee) ada resipi yang tersendiri," katanya.

Latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru, bermula 27 November ini, namun Adib yang juga pertahanan skuad muda negara tetap komited untuk mengekalkan prestasinya menerusi latihan sendiri.

"Semua rakan-rakan saya buat perkara sama di sini, buat latihan tambahan. Kami tahu pasukan Timur Tengah memang bagus," tambahnya.