REAL MADRID 2 SEVILLA 0

Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, lega kerana berjaya memberikan semula kegembiraan kepada penyokong pasukannya menerusi aksi luar biasa yang dipamerkan mereka ketika menundukkan Sevilla 2-0 dalam saingan LaLiga, malam tadi.


Juara Eropah itu bernasib baik untuk tidak ketinggalan dalam babak pertama selepas Sevilla mempersia-siakan deretan peluang terhidang di Santiago Bernabeu.

Antaranya menerusi percubaan Sergio Escudero yang sekadar menggegar tepi jaring Thibaut Courtois susulan satu serangan balas pantas.

Bagaimanapun, Madrid membuktikan mereka pasukan yang lebih baik dalam separuh masa kedua.

Casemiro melengkapkan penguasaan tuan rumah itu menerusi jaringan jarak jauh menarik pada minit ke-78 yang gagal diselamatkan Tomas Vaclik.

Luka Modric kemudian menggandakan jaringan pada masa kecederaan bagi memastikan skuad kendalian Santiago Solari itu melonjak ke tangga ketiga liga.

Kemenangan lewat permainan itu memberikan makna berbeza buat Ramos yang melewati penampilannya yang ke-450 dalam LaLiga.

"Kami perlu mencari semula prestasi terbaik.

"Anda dapat lihat kembali kehebatan kami hari ini.

"Kami menguasai permainan dan menjaringkan dua gol.

"Namun, jaringan kedua itu hanya tiba pada lewat permainan.

"Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol andai lebih berkesan di depan gawang.

"Apapun, kami perlukan kemenangan dan menang dengan bergaya.

"Ia untuk penyokong kami.

"Ia kemenangan yang baik untuk mereka dan kami sentiasa mempunyai hubungan erat bersama.

"Saya datang kepada penyokong kerana kami akan lebih kuat jika mereka bersama kami.

"Saya percaya mereka akan pulang ke rumah dengan gembira hari ini," katanya.

Selepas ini, Madrid akan menanti kunjungan Girona bagi aksi suku akhir pertama Copa del Rey, Khamis ini.