Bos Maghribi, Herve Renard, berjanji pasukannya akan melakukan yang terbaik untuk membuatkan Cristiano Ronaldo "kurang luar biasa" apabila mereka menghadapi Portugal dalam Piala Dunia di Stadium Luzhniki, Moscow, malam ini.

Penyerang berusia 33 tahun itu menjadi pemain tertua menjaringkan hatrik dalam kejohanan itu ketika seri 3-3 dengan Sepanyol dalam aksi pembukaannya.

Maghribi memerlukan keputusan positif di Moscow setelah tewas 1-0 di tangan Iran dalam aksi pembukaan Kumpulan B mereka tetapi Renard mengakui usaha mengekang Ronaldo mungkin satu tugas yang mustahil.

"Apa yang saya boleh katakan ialah dia pemain yang luar biasa," katanya dalam sidang akhbar.

"Kami mesti melakukan segala-galanya untuk menjadikannya perlawanan kurang luar biasa untuknya."

Renard juga menolak idea menyekat Ronaldo sebagai taktik yang mungkin sia-sia, terutama selepas Portugal memenangi Euro 2016 dengan menewaskan Perancis 1-0 dalam perlawanan akhir.

Dia menambah: "Jika kami meletakkan tiga (pemain) pada Ronaldo, saya tidak tahu bagaimana kami akan mengawal pemain lain. Mereka mempunyai kualiti dalam serangan, kami tidak boleh lupa bahawa kami menghadapi juara Eropah.

"Jika saya mempunyai ingatan yang baik, dia cedera dalam perlawanan akhir menentang Perancis dan rakan sepasukannya berjaya membuat perbezaan.

"Sudah tentu, dia adalah elemen penting ... tetapi kami perlu tidur lena malam ini!"