"Jangan abaikan minit bermain mereka bersama kelab."

Itu pesanan pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, merujuk kepada kepentingan aksi konsisten pemain pasukan itu yang bakal bersama kelab baru musim depan.

Bersesuaian dengan status mereka yang akan beraksi di pentas Kejohanan Asia tahun depan, Kamarul Ariffin mengharapkan kepentingan pemain itu mendapat tempat dalam saingan liga sebagai keutamaan.

Sambil mengakui beberapa pemain sudah melewati perbincangan akhir dengan beberapa pasukan gergasi negara, minit bermain untuk pemain muda amat penting agar keupayaan mereka tidak tumpul jika sekadar memanaskan bangku simpanan.

"Saya harapkan mereka meraih minit perlawanan. Ia penting untuk pembangunan mereka. Jadi, jika sudah sampai ke tahap Asia, pihak kelab berilah mereka peluang dan bukan sekadar meletakkan mereka dalam skuad bawah umur," katanya.

Slot automatik ke Kejohanan AFC tahun depan adalah sesuatu yang membanggakan bagi pencapaian skuad B-19 negara setakat ini.

Demi memastikan skuad itu bukan sekadar memenuhi jadual perlawanan, Kamarul Ariffin bertekad untuk memulakan gerakan persediaan daripada awal.

"Apabila saya menguruskan sesebuah pasukan, saya tidak mahu ia dianggap sekadar memenuhi jadual. Ada perbincangan secara lisan untuk penyediaan pasukan jika layak ke pusingan akhir Kejohanan Asia."

Skuad B-19 negara membarisi slot 16 terbaik Asia yang akan berentap di Uzbekistan pada Oktober 2020.

Kredit foto: FAM