Cristiano Ronaldo mengalami kecederaan ringan di paha ketika membantu Portugal menentang Serbia dalam pusingan kelayakan Euro 2020 semalam, demikian disahkan Juventus.

Ronaldo terpaksa dikeluarkan pada minit ke-31 dalam aksi di Lisbon itu selepas mengalami ketegangan otot ketika mengejar bola.

Selepas perlawanan, pemain berusia 34 tahun itu menegaskan isu tersebut tidak serius dan berharap untuk dapat diturunkan dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Ajax, 10 April ini, dengan berkata kepada wartawan: "Saya pasti saya akan kembali pulih dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi."

Juve mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan paha, namun tidak menetapkan sebarang tempoh untuk dia kembali pulih.

Satu kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi pasukan berkenaan tertulis: "Cristiano Ronaldo menjalani pemeriksaan di Portugal yang mendapati dia mengalami kecederaan ringan di paha kanan.

"Keadaannya akan diselia dan akan terus diperiksa sehingga dia boleh kembali beraksi."

Pendahulu Serie A itu akan menghadapi Empoli, Cagliari dan AC Milan sebelum berkunjung ke Amsterdam bagi saingan Liga Juara-Juara.