Juventus menyempurnakan perpindahan pertahanan Genoa, Cristian Romero, dengan yuran €26 juta (RM120.7j), kemudian meminjamkan semula pemain berusia 21 tahun itu ke Rossoblu.

Perjanjian mengikat Romero semakin hampir mencapai kata sepakat apabila Juve mengesahkan dia akan menjalani ujian kesihatan, Rabu lalu, sebelum memeterai kontrak lima tahun, tiga hari kemudian.

Bekas pemain antarabangsa Argentina B-20 itu akan menyertai Genoa daripada Belgrano, tahun lalu, dengan kesepakatan bernilai €1.7j (RM7.8j) dan setelah melakukan 27 penampilan dalam Serie A, dengan aksi mengagumkannya itu membuka peluang untuknya menyertai kelab gergasi.

Dia menjadi pemain tengah kedua selepas Merih Demiral -- juga berusia 21 tahun -- yang diikat Juve dalam jendela perpindahan ini tetapi Romero akan kembali dipinjamkan ke Genoa untuk sepanjang musim.

Menurut kenyataan Juve: "Juventus mengumumkan bahawa perjanjian dengan Genoa untuk hak pendaftaran Cristian Romero telah diselesaikan dengan nilai RM120.7j yang akan dibayar dalam tempoh tiga tahun.

"Juventus dan pemain itu telah menandatangani kontrak selama lima tahun yang akan mengekalkannya sehingga 30 Jun 2024.

"Pada masa yang sama, Juventus telah mencapai persetujuan dengan Genoa untuk pinjaman secara percuma sehingga 30 Jun 2020 selain bonus mencecah €5.3 juta (RM24.6j) yang akan dibayar kepada Genoa sekiranya dia mencapai prestasi tertentu."

Juve juga dijangka akan menyempurnakan perpindahan bintang muda Ajax, Matthijs de Ligt, tidak lama lagi sebagai calon pengganti kepada Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci yang semakin dimamah usia.