JUVENTUS 3 AS ROMA 1

Maurizio Sarri gembira dengan prestasi Juventus tetapi mengakui pasukan itu perlu menjadi lebih bagus daripada musim lalu jika mahu mempertahankan gelaran Serie A.


Skuad Bianconeri itu menewaskan AS Roma 3-1 dalam suku akhir Coppa Italia di Turin awal pagi tadi, dengan Cristiano Ronaldo, Rodrigo Bentancur dan Leonardo Bonucci muncul penjaring sebelum waktu rehat separuh masa.

Ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut dalam kesemua kejohanan buat Juve, yang kini berada di persada liga dengan kelebihan empat mata di depan pencabar terdekat, Inter Milan.

Sarri dapat melihat mentaliti juara pemainnya sewaktu menewaskan Roma tetapi mengakui pasukannya perlu memperbaiki segala aspek untuk mengatasi saingan tiga penjuru dengan Inter dan Lazio dalam liga.

"Kemenangan sudah semakin normal," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya gembira dengan pasukan ini.

"Tetapi kami tidak perlu melihat kepada angka kerana ia akan menjadi lebih sukar tahun ini.

"Kami hanya perlu melakukannya dengan lebih baik daripada musim lalu jika mahu bersaing dalam liga," katanya.

Ronaldo merekodkan tujuh gol daripada empat perlawanan tahun ini dan Sarri memuji aksi luar biasa tonggaknya itu dan mahu membantu bintang Portugis berkenaan memperoleh gelaran individu.

"Ronaldo memiliki keadaan fizikal dan mental yang luar biasa.

"Dia meneruskan rentak yang menarik dan kemahiran yang luar biasa.

"Keadaan fizikalnya amat baik.

"Daripada segi ledakannya, dia amat baik dan amat berhati-hati dengan segala perincian.

"Ronaldo seorang juara, kami mahu membantunya memenangi gelaran Ballon d'Or keenam.

"Ia akan membuatkan kami semua gembira," katanya.

Juve seterusnya akan berdepan bekas pasukan kendalian Sarri, Napoli, yang sedang bergelut dalam kelompok separuh terbawah liga.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami tidak boleh melihat kepada posisi mereka dalam kedudukan liga.

"Mereka sedang melalui waktu sukar tetapi masih memiliki pemain yang bagus.

"Daripada satu sudut pandangan, ia tiga mata yang mudah untuk diraih.

"Daripada pandangan saya, pandangan peribadi saya, ia merupakan satu perlawanan yang istimewa kerana saya amat dekat dengan Napoli," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa