JUVENTUS 4 AC MILAN 0

Massimiliano Allegri membenarkan pemain-pemain Juventus untuk "meraikan kejayaan" Coppa Italia sebelum kembali fokus untuk memastikan mereka merangkul gelaran Serie A.


Dua jaringan daripada Medhi Benatia, Douglas Costa dan gol sendiri Nikola Kalinic menyaksikan Juve menjuarai gelaran ini buat kali keempat berturut-turut selepas membenam AC Milan 4-0 dalam final di Rome, awal pagi tadi.

Lebih menarik, perlawanan seri tanpa jaringan selepas tamat separuh masa pertama, dengan skuad kendalian Allegri itu hanya mendominasi permainan dalam babak kedua dan menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit.

Mereka memiliki kelebihan enam mata ke atas penghuni tangga kedua, Napoli, dalam saingan liga dan berbaki dua perlawanan -- Juve kini berada di landasan terbaik untuk menjuarai Serie A buat kali ketujuh berturut-turut.

"Ini merupakan trofi pertama kami musim ini. Pemain-pemain berhak meraih kejayaan ini," kata Allegri.

"Semua pemain bermain dengan baik dan perkara itu yang diperlukan.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar dalam separuh masa pertama tetapi dalam babak kedua, kami menemui ruang untuk mencipta jaringan," katanya.

Juve akan kembali ke Stadio Olimpico pada Ahad ini untuk berdepan Roma sebelum menyempurnakan musim dengan perlawanan di laman sendiri berdepan Verona.