Pengarah Sukan Juventus, Fabio Paratici, mendedahkan juara Serie A itu masih lagi berminat dengan Paul Pogba serta telah mengambil langkah untuk menandatangani Adrien Rabiot.

Pogba telah dikaitkan bakal kembali ke Itali walaupun Real Madrid turut dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain tengah Manchester United itu.

Rabiot pula telah tamat kontrak bersama Paris Saint-Germain (PSG) walaupun tidak beraksi dalam saingan senior tahun ini selepas enggan menandatangani kontrak baru bersama juara Ligue 1 itu.

Paratici meluahkan minat Juve terhadap kedua-dua pemain itu dan mengesahkan telah berbincang dengan Rabiot.

"Mereka adalah pemain yang berkualiti," kata Paratici.

"Pogba adalah pemain Manchester United. Kami telah membentuk Pogba tetapi dia adalah pemain Manchester United.

"Kami sedang berusaha mendapatkan Rabiot, sama seperti pemain sasaran pasukan. Kami akan berbincang dengan Sarri sebelum membuat keputusan.

Paratici turut memuji Sarri dengan menegaskan bekas pengendali Napoli itu merupakan pilihan yang ideal untuk meneruskan legasi Massimiliano Allegri.

"Kami memilih Sarri kerana kami percaya dia adalah pilihan terbaik buat Juve. Sama seperti lima tahun lalu, kami melantik Allegri dan lapan tahun lalu, Antonio Conte adalah pilihan kami.

"Mereka memiliki perbezaan dalam corak permainan yang diketengahkan.

"Sarri telah membuktikan pendekatannya berhasil di Itali, Liga Perdana Inggeris (EPL) serta pentas Eropah."