Erik ten Hag mendedahkan Juventus gementar berdepan Ajax, yang melakar kejutan ke atas gergasi Itali itu untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Ajax menjadi pasukan pertama yang mengharungi tiga pusingan kelayakan dan melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi Juve 2-1 dalam aksi kedua suku akhir di Stadium Allianz, awal pagi tadi.

Selepas menyingkirkan juara bertahan tiga kali, Real Madrid, dalam pusingan 16, Ajax mempamerkan persembahan cemerlang hasil jaringan daripada Donny van de Beek dan Matthijs de Ligt selepas Cristiano Ronaldo membuka jaringan di awal permainan.

Selepas juara Eropah empat kali itu melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1997, ketua jurulatih, Ten Hag berkata, "Ia perlawanan yang terbaik buat Ajax, semua pemain dan bola sepak Belanda.

"Kami sekali lagi menyingkirkan pasukan pilihan UCL, dengan falsafah bola sepak kami. Kami mampu mengatasi had dan melakukannya sekali lagi.

"Anda dapat melihat Juve gentar dengan kebolehan kami, sama seperti Real Madrid. Sukar untuk bersaing dengan corak permainan kami. Ajax juga bertuah kerana memiliki barisan pemain yang memiliki kemahiran teknikal yang tinggi.

"Kami turut bermain dalam suku akhir pertama, kami berjaya mencari ruang selepas memberikan tekanan kepada Juve.

"Ketika rehat separuh masa, kami telah meletakkan strategi untuk memberi tekanan kepada Emre Can dan memastikan pemain sayap bebas melakukan larian.

"Ia telah membuka ruang untuk melancarkan serangan dan selepas kami mendahului 2-1, Ajax bermain dengan lebih selesa.

"Kami telah melakukan perkara yang sama ketika mengatasi Real dan saya sangat gembira di atas kemenangan ini."

Ajax akan berdepan Tottenham atau Manchester City dalam separuh akhir.