Selepas lima perlawanan Liga Super musim ini, pengendali tempatan tampak lebih menyinar jika dilihat kepada kedudukan carta liga setakat ini.

Kedah di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe, terus unggul mendahului carta liga dengan rekod bersih tanpa kalah, diikuti Pahang yang kini dikendalikan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh.

Kejayaan Kedah merakamkan kemenangan ke atas Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lalu, menguatkan lagi status Lang Merah sebagai pilihan utama bagi meraih kejuaraan liga musim ini.

Cheng Hoe turut tampak serasi dengan barisan pemain selepas empat musim mengendalikan pasukan.

Pahang pula adalah pasukan yang dijangka mampu untuk terus memberi saingan kepada Kedah.

Dalam pada itu, Pulau Pinang kini semakin tertekan dengan kekalahan besar 6-1 di tangan Pahang, Sabtu lalu, dan tampak sukar untuk mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

"Mungkin jurulatih tempatan mempunyai kelebihan kerana lebih kenal dengan pemain-pemain dan budaya bola sepak kita.

"Saya tidak menafikan bahawa Benjamin Mora dan Karl-Heinz Weigang telah membentuk sebuah pasukan mantap.

"Tetapi mereka mungkin mengambil sedikit masa untuk mencongak percaturan ampuh bagi pasukan masing-masing," kata pemerhati bola sepak, Asmawi Bakiri.

Bagaimanapun, Felda United yang kini di tangan kedua tercorot, dijangka berupaya untuk bangkit sekiranya berjaya mendapatkan jurulatih yang mampu memberi nafas baru buat pasukan.

"Felda United terpaksa menanggung risiko di atas keputusan pihak pengurusan sehingga mereka terjerumus ke dalam kelompok yang sukar.

"Namun, mereka perlu bangkit dan yakin dengan kemampuan barisan pemain yang ada selain beriskap positif," ujar seorang lagi pemerhati bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir.