Ricardo Gareca percaya teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) membantu, namun jurulatih Peru itu menganggap kesilapan manusia adalah daya tarikan dalam bola sepak sambil mempersoalkan pembaharuan teknologi yang diperkenalkan.

VAR memainkan peranan penting dalam Piala Dunia di Russia -- Perancis merupakan salah sebuah pasukan pertama yang mendapat faedah daripadanya selepas mendapat penalti kontroversi dalam kemenangan 2-1 ke atas Australia minggu lalu.

Peru juga menikmati kemudahan VAR apabila dihadiahkan penalti ketika tewas 0-1 kepada Denmark dalam aksi Kumpulan C.

Bagaimanapun, itu tidak mengubah pendirian Gareca terhadap VAR menjelang pertemuan wajib menang menentang Perancis, Ahad ini.

Jurulatih berumur 60 tahun itu memberitahu pemberita: "Saya mempunyai pemahaman yang sangat jelas tentang bola sepak. Bola sepak sangat berbeza dengan sukan lain. Itulah salah satu daya penarik yang ditawarkan oleh bola sepak.

"Ia boleh menjadi sedikit kontroversi untuk diperkatakan dan anda harus faham ia adalah perspektif peribadi. Perlawanan bola sepak telah memperkenalkan pegawai keempat, kemudian pengadil di belakang gol untuk mencuba meningkatkan mutu pengadilan. Kini, kita telah diperkenalkan dengan pembaharuan baru, VAR.

"Kadang-kadang, VAR mengesahkan gol meskipun berlaku kekasaran. Mungkin ada penalti yang dianugerahkan dan ada yang tidak (mendapat pembelaan). Pada fikiran saya, bola sepak berkait dengan kesilapan. Saya tidak fikir ini akan menjadi penyelesaian yang sempurna. VAR sekadar tambahan, ia boleh membantu tetapi akan sentiasa wujud perbezaan pendapat.

"Bayangkan jika kita terpaksa membazirkan tiga atau empat minit setiap kali kita menggunakan VAR untuk mencabar gol. Kita boleh membahaskannya, namun ia tiada kesudahan.

"Saya mempunyai pemahaman VAR yang sangat cetek dan apa yang boleh disumbangkannya kepada bola sepak. Sudah tentu ia dilaksanakan dengan niat yang terbaik dan jika sesuatu dilakukan dengan niat yang terbaik, saya pasti bersikap terbuka terhadapnya."

Gareca memberitahu sidang media malam tadi dengan nasib Peru dalam bahaya susulan kekalahan kepada Denmark.

Penjaring terbanyak merangkap kapten pasukan, Paolo Guerrero, memulakan perlawanan itu di bangku simpanan selepas dibenarkan beraksi meskipun pada awalnya dikenakan penggantungan kontroversi.

Ditanya sama ada tahap kecergasan Guerrero tidak berada dalam prestasi terbaik untuk berdepan Denmark sejak awal, Gareca berkata: "Itu bukan faktor penentu. Dia cergas sepenuhnya, ia adalah keputusan teknikal saya. Paolo tidak menghadapi apa-apa masalah atau kekangan.

"Dia salah seorang pemain terakhir yang melaporkan diri. Kami bermula pada 3 Mei dan dia merupakan pemain terakhir yang tiba ketika kami mencapai kemenangan ke atas Austria.

"Itulah sebabnya saya mungkin tidak mempertimbangkannya dari awal tetapi dari segi kecergasan fizikal, dia cukup cergas.

"Perkara paling penting bagi Peru ialah kerjasama sepasukan kerana sebab itulah kami telah mencapai tahap ini di sebalik ketiadaan pemain utama.

'Kami mengatasi segala masalah dan cabaran untuk berada di tempat seperti hari ini."