Pengurus Central Coast Mariners, Mike Mulvey, menegaskan dia tidak tahu-menahu mengenai sebarang tawaran kontrak membabitkan bekas jaguh pecut, Usain Bolt.

Semalam, pengurusan bekas bintang olahraga itu mengesahkan kepada Omnisport bahawa mereka telah menerima tawaran daripada kelab bola sepak A-League berkenaan di mana Bolt telah berlatih bersama sejak Ogos lalu.

Bagaimanapun, selepas seri 1-1 dengan Brisbane Roar dalam perlawanan pembukaan musim kelmarin, Mulvey menyatakan bahawa beliau tidak menyedari ke mana hala tuju atlet kelahiran Jamaica berkenaan.

Malah, Mulvey mencadangkan Bolt akan bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasannya sekiranya mengikat perjanjian dengan kelab itu.

"Kami tidak bercakap tentang spekulasi," katanya dalam sidang akhbar. "Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu, saya tidak bercakap tentang khabar angin atau perkara seumpamanya, biarlah pihak yang jawatannya lebih tinggi daripada saya menjawabnya.

"Saya menghargai betapa pentingnya kisah ini untuk seluruh dunia tetapi jika anda melihat perkembangan kami pada hari ini, anda akan tertanya-tanya sama ada Bolt mampu merebut mana-mana posisi, bukankah begitu?"

Ketika ditanya apakah ada rancangan untuk menyelesaikan masa depan Bolt, Mulvey menjawab: "Saya mempunyai rencana yang bagus, dan ia adalah: kami akan pulang, para pemain akan menikmati mandian yang baik, kami akan makan malam dan menonton perlawanan malam ini di antara Perth (Glory) dan Western Sydney (Wanderers), maka kami akan menaiki kapal terbang esok dan pulang ke Central Coast bagi mengadakan persiapan berdepan Melbourne City minggu depan."