Jurulatih Jordan, Vital Borkelmans, tampak terpaksa mempertaruhkan barisan kedua untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini apabila sembilan pemain utamanya belum melaporkan diri bersama pasukan ketika ini.

Skuad Jordan sudah menjalani latihan selama dua hari di padang Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam selepas tiba di Malaysia, semalam.

Malangnya Jordan tidak disertai empat pemain kelab Al-Jazeera dan lima pemain yang beraksi di luar Jordan, termasuk di Eropah, antaranya kapten yang juga penjaga gol, Amer Shafi, pemain tengah, Musa Al-Taamari, dan Ahmed Samir serta penyerang, Baha Faisal.

Borkelmans mengesahkan pasukannya hanya akan lengkap dengan semua 26 pemain sehari sebelum perlawanan menentang Malaysia.

"Ini adalah peluang untuk Jordan menurunkan barisan pemain muda dan skuad ini adalah lengkap esok selepas beberapa pemain masih lagi bersama kelab masing-masing," kata Borkelmans.

Bekas jurulatih Belgium itu fokus dengan pemain sedia ada untuk membentuk skuad mantap bertemu Malaysia sebagai persediaan terbaik mereka untuk menghadapi aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Taiwan, 5 September ini.

"Penting untuk kami tiba awal di sini bagi membiasakan diri dan perlawanan yang bakal dihadapi adalah penting untuk pasukan," ujarnya.