Kempen Piala Dunia buat Park Joo-ho mungkin sudah berakhir selepas pemain pertahanan itu disyaki mengalami koyakan hamstring dalam kekalahan 1-0 Korea Selatan kepada Sweden di Stadium Nizhny Novgorod, semalam.

Kaki Joo-ho terlalu meregang ketika cuba mengawal bola dan terpaksa digantikan oleh Kim Min-woo pada minit ke-28.

Jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong, berpendapat ia mungkin menjadi masalah serius bagi pemain bek kiri itu.

"Park mengalami kesakitan di hamstringnya. Kami rasa dia mungkin betul-betul sakit. Saya fikir ia mungkin koyak," kata Shin selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, satu sepakan penalti daripada Andreas Granqvist sudah cukup untuk mmberikan skuad Janne Andersson itu tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F mereka.