Diego Simeone menyeru Joao Felix agar memainkan peranan yang lebih besar bersama Atletico Madrid sambil menegaskan dia juga mahu melihat pemain itu sentiasa menampilkan prestasi tertinggi dalam setiap perlawanan.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang menandatangani kontrak bernilai €126 juta (RM579.2j) daripada Benfica dalam jendela perpindahan sebelum ini, meledak penalti ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Lokomotiv Moscow kelmarin yang memastikan kedudukan Atleti dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Ia adalah persembahan Joao Felix yang paling meyakinkan sejak dia kembali daripada kecederaan pergelangan kaki yang menyaksikannya terlepas enam perlawanan sehingga mengundang kritikan terhadap Simeone berikutan ketumpulan di jentera serangan.

Pemain antarabangsa Portugal itu dijangka akan memulakan perlawanan LaLiga menentang Osasuna malam ini untuk sekali lagi mengetuai serangan tatkala Atleti berhasrat untuk mencatat kemenangan keempat dalam 14 perlawanan liga.

Simeone juga ingin mempertaruhkan Joao Felix dan melihatnya tekal dengan prestasinya.

"Tidak syak lagi saya juga mahu berjumpa setiap hari dan mahu melihatnya dalam prestasi terbaik," katanya kepada pemberita semalam.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kedudukan LaLiga.

"Kami menghadapi lawan yang sukar daripada Divisyen Primera yang menampilkan persembahan mantap dan berusaha secara kolektif.

"Selain kritikan dan pendapat, kami mencari jalan untuk mendapatkan semula keseimbangan. Keseimbangan ini semakin terserlah dan lebih teratur sepanjang 90 minit permainan, peluang untuk menang kini lebih tinggi."

Simeone juga mengesahkan perbincangan sedang dilakukan mengenai perancangan Atletico dalam jendela perpindahan bulan depan.

Mereka dikhabarkan bersedia untuk kembali memburu penyerang Valencia, Rodrigo Moreno, sementara pemain Barcelona, Ivan Rakitic, dan Eriksen daripada Tottenham juga dikaitkan di samping penggempur Torino, Andrea Belotti.

"Seperti biasa, saya akan bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Miguel Angel Gil Marin, dan Pengarah Sukan, Andrea Berta, mengenai keperluan pasukan," katanya. "Tetapi saya hanya memikirkan tentang Osasuna."

Atleti kini di tangga ketujuh selepas 16 perlawanan, lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona, dan pencabar di tempat kedua, Real Madrid.