Joao Felix begitu berbakat sehinggakan dalam tempoh setahun, nilainya akan melonjak kepada €378 juta (RM1,7b), kata rakan sepasukan barunya di Atletico Madrid, Felipe.

Walaupun baru berusia 19 tahun, Joao Felix berpindah ke Atletico daripada Benfica dengan nilai €126 (RM584.9j) awal bulan ini selain kesanggupan kelab Sepanyol itu menebus klausa pelepasan kontrak pemain remaja itu lebih €6 juta (RM27.8j) daripada nilai sebenar dianggap langkah yang mengejutkan.

Pemain tengah menyerang itu menyumbat 20 gol dalam semua pertandingan musim lalu untuk menarik minat beberapa kelab besar di Eropah, termasuk Juventus, Manchester City dan Manchester United.

Begitupun, Atletico mendahului kesepakatan itu berikutan perpindahan Antoine Griezmann ke Barcelona dan secara tidak langsung ​​menyerahkan jersi nombor 7 kepada Joao Felix meskipun secara teknikalnya, penggempur Perancis itu masih berada di kelab itu.

Ramai yang mengkritik perjanjian itu, namun Atletico menegaskan mereka menaruh harapan tinggi ke atas pemain muda tersebut tetapi Felipe -- yang saling bersaing dengan Joao Felix di Porto sebelum berhijrah ke Wanda Metropolitano -- yakin pemain muda Portugal itu akan bersinar dengan segera.

"Dia seorang pemain yang hebat," kata Felipe, 30, kepada Marca. "Di Portugal, dia melangkaui usianya.

"Dia sangat pintar, pantas, pergerakannya sangat baik dan dia kini di dalam pasukan saya, saya akan membantunya (menyesuaikan diri).

"Di Portugal, dia merupakan pesaing saya dan saya terpaksa bersaing dengannya. Ia sukar kerana dia memiliki kualiti tinggi. Dia seorang budak yang akan berkembang pesat dan dia akan membawa banyak kegembiraan kepada peminat Atletico.

"Kami perlu bertenang, nilai Joao Felix mungkin akan melonjak dua atau tiga kali ganda dalam masa setahun," ujarnya lagi.