WOLVES 2 MANCHESTER UNITED 1

Wolverhampton Wanderers melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas gol daripada Raul Jimenez dan Diogo Jota memastikan pasukan itu menewaskan Manchester United 2-1 di Molineux, awal pagi tadi.


Ia merupakan kali pertama skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu menyertai kelompok empat pasukan terbaik dalam sejarah Piala FA yang mula dianjurkan pada musim 1997-98 dan mereka sememangnya layak meraih kemenangan ke atas United yang beraksi hambar.

Jiminez menjaringkan gol pada minit ke-70 sebelum Jota mengatasi Luke Shaw untuk menggandakan kelebihan itu enam minit kemudian.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu -- yang memenangi sembilan perlawanan di laman lawan sebelum tewas kepada Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris minggu lalu -- memperoleh gol sagu hati pada lewat permainan menerusi Marcus Rashford dan tidak boleh merungut dengan keputusan perlawanan suku akhir itu.

Paul Pogba menghasilkan percubaan awal yang tersasar dan Rashford pula menguji John Ruddy dari jarak jauh ketika tuan rumah lebih selesa menguasai permainan sepanjang setangah jam pertama.

Beberapa minit sebelum tamat babak pertama, Sergio Romero terpaksa bertindak tangkas untuk menafikan peluang terbuka Jota susulan serangan balas pantas Wolves akibat sepakan penjuru United.

Rashford melakukan percubaan deras yang tersasar pada minit pertama babak kedua sebelum Romero melakukan aksi menyelamat hebat untuk menguis percubaan Jimenez melepasi palang golnya.

Pemain kenbangsaan Argentina itu kembali diuji menjelang sejam perlawanan ketika dia menepis keluar rembatan Joao Moutinho yang terbias.

Tekanan yang diberikan Wolves membuahkan hasil pada minit ke-80 ketika Jimenez menembusi deretan pertahanan United untuk melakukan voli rendah yang menewaskan Romero.

Satu lagi serangan balas pantas Wolves mendorong kepada jaringan kedua mereka ketika Jota memperdayakan Shaw yang tersungkur ke tanah sebelum melakukan sepakan rendah yang mudah melepasi Romero.

Kad merah kepada Victor Lindelof pada lewat permainan akhirnya bertukar kepada kad kuning hasil bantuan video bantuan pengadil (VAR), sebelum Rashford menyudahkan hantaran lintang Shaw, namun ia jelas sudah terlewat untuk United akur tewas kepada lawan tidak ternama itu.