Maurizio Sarri memberitahu Chelsea bahawa jika masa depannya bergantung kepada menjuarai Liga Europa, maka dia harus berhenti serta-merta.

Pengendali dari Itali itu menyertai Chelsea daripada Napoli pada permulaan musim dan pantas memberikan impak ketika The Blues memulakan kempen Liga Perdana Inggeris.

Namun, peminat mula mempersoalkannya setelah prestasi mula merudum dan selepas setahun, Sarri dilanda tekanan tatkala wujud laporan dia hampir dipecat.

Sarri berjaya memulihkan prestasi pasukan di penghujung musim, dengan menduduki tangga ketiga liga dan mara ke final Liga Europa.

Dia dikaitkan dengan jalan pulang ke Itali dan dilaporkan dalam bahaya untuk dipecat sekiranya gagal menjuarai Liga Europa tetapi Sarri berpendapat situasi itu tidak adil.

Apabila ditanya sama ada jawatannya patut ditentukan menerusi satu perlawanan, Sarri memberitahu sidang media: "Jika situasinya sebegitu, saya mahu pergi serta-merta.

"Anda tidak boleh bekerja 10 bulan dan kemudian menentukan segalanya hanya dalam 90 minit. Ia tidak betul.

"Anda gembira dengan hasil kerja saya atau tidak."

Walaupun dikaitkan untuk ke Juventus dan Roma, Sarri menegaskan dia mahu kekal bersama Chelsea sambil menjurus ke arah baki kontrak dua tahun di Stamford Bridge.

"Saya rasa masa depan saya adalah Rabu ini," katanya.

"Saya hanya perlu memikirkan tentang final ketika ini. Saya mempunyai baki kontrak dua tahun, jadi saya tidak berhubung dengan kelab lain sekarang.

"Saya harus bercakap dengan kelab terlebih dahulu selepas final. Saya mahu tahu jika mereka gembira dengan saya atau tidak. Itu sahaja. Saya masih ada baki dua tahun.

"Seperti yang anda tahu, saya sangat sukakan Liga Perdana Inggeris ketika ini. Ia adalah kejuaraan terpenting di dunia. Sangat mengujakan apabila berada di sini tetapi kini waktu untuk memikirkan final.

"Saya sangat gembira untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris. Chelsea adalah salah sebuah kelab terpenting dalam Liga Perdana Inggeris, jadi saya sangat gembira tetapi kami harus berbincang. Namun, ia normal, setiap musim anda akan berbincang dengan kelab."