Pemain Brazil, Gabriel Jesus, berkata tiada sebab dia sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan penalti yang akhirnya tidak diberikan pengadil bagi mengatasi Switzerland.

Jesus jatuh di kawasan itu selepas dicabar Manuel Akanji pada babak kedua ketika seri 1-1 dalam Piala Dunia di Rostov Arena, awal pagi tadi

Bagaimanapun, wisel tidak dibunyikan untuk Brazil -- salah sebuah pasukan kegemaran Piala Dunia -- yang terikat dalam aksi pembukaan Kumpulan E itu.

Jesus berasakan sepakan penalti sepatutnya diberikan.

"Saya dikawal, saya berpaling, bola dikeluarkan dari kawasan gawang," katanya.

"Tidak ada sebab untuk saya sengaja merebahkan badan. Saya menerima sentuhan. Jika dia menafsirkan bahawa ia bukan penalti, hidup memang begitu. Begitu juga menafsirkan bahawa gol Switzerland (oleh Steven Zuber) bukanlah daripada kekasaran.

"Ia tidak bergantung kepada kami sebagai pemain."

Philippe Coutinho menghadiahkan gol buat Brazil pada minit ke-20 tetapi Zuber menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua selepas pemain berusia 26 tahun itu kelihatan menolak Miranda.

Brazil akan menghadapi Costa Rica dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, Jumaat ini.